Lebih 1,500 Kandungan Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak Dikesan – SKMM

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak dikenal pasti di internet dari Januari hingga 15 Jun tahun ini, menurut kenyataan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 peratus atau 1,415 kandungan berjaya diturunkan hasil tindakan pantas SKMM bersama penyedia platform digital dan maklumat awam.

Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa penyebaran, penyimpanan, dan pengkomersialan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan satu jenayah berat yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda maksimum RM1 juta.

“Sebarang aktiviti memuat naik, menyimpan atau menyebarkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak adalah satu jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam operasi besar-besaran dikenali sebagai ‘Op Pedo’ pada Disember 2024, seramai 13 individu telah ditahan dan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) berjaya dirampas di beberapa negeri.

Pihak SKMM dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), PDRM, menjadikan usaha ini sebagai keutamaan susulan peningkatan kes melibatkan jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Sebagai langkah pencegahan, SKMM turut mempergiatkan Kempen Internet Selamat (KIS) yang menyasarkan pelajar sekolah, ibu bapa dan komuniti tempatan, bagi mendalami bahaya kandungan seksual dalam talian dan keperluan kawalan kendiri.

“Antara objektif utama KIS ialah menekankan larangan memiliki akaun media sosial bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah, serta mendidik masyarakat mengenai risiko siber,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan kewujudan kumpulan Facebook bernama ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang didakwa menyebarkan gambar tidak senonoh remaja perempuan. Susulan aduan orang ramai, kumpulan berkenaan telah ditutup dan siasatan sedang dijalankan.

SKMM dan PDRM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti dan pengguna internet agar sama-sama membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Setiap laporan daripada orang ramai boleh membantu mencegah lebih banyak penderaan seksual secara digital.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Laporkan dan bertindak bersama demi melindungi masa depan anak-anak kita,” tegas kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles