Lebih 1,300 Notis Kesalahan Dikeluarkan, 73 Motosikal Diambil Tindakan dalam Operasi JPJ WPKL

Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), telah menjalankan tiga operasi motosikal sepadu di beberapa lokasi strategik. Operasi ini memfokuskan pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Diketuai oleh YBrs. Mohd Zaki bin Ismail, Pengarah JPJ WPKL, dua operasi pertama berlangsung pada 15 November 2024 di Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Pantai Dalam, bermula jam 3.00 petang hingga tengah malam.

Sebanyak 4,545 kenderaan diperiksa, dengan 1,353 notis kesalahan dikeluarkan. Kesalahan utama yang dikesan termasuk:
• Pengubahsuaian chasis: Struktur motosikal yang diubah sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.
• Ekzos tidak mengikut spesifikasi: Penggunaan ekzos aftermarket yang menghasilkan bunyi melebihi had dibenarkan.
• Nombor plat tidak sah: Plat tidak mematuhi piawaian, sukar dibaca atau direka tidak mengikut spesifikasi.
• Tayar tidak mengikut spesifikasi: Penggunaan tayar kecil atau haus yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Selain itu, JPJ turut melaksanakan advokasi keselamatan dengan menggantikan topi keledar penunggang motosikal yang tiada tanda SIRIM kepada yang mematuhi piawaian keselamatan. Langkah ini bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

di dalam operiasi itu, Sebanyak 73 motosikal disita kerana pengubahsuaian ekstrem, ketiadaan lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, dan tiada perlindungan insurans. Tindakan ini diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk warganegara Indonesia (9), Bangladesh (3), dan India (4). Sementara itu, AADK mendapati 16 individu positif dadah hasil ujian saringan terhadap 141 individu, termasuk 13 kes Methamphetamine dan 3 kes Ganja. JSPT turut mengeluarkan 134 notis kesalahan lalu lintas terhadap pelbagai pelanggaran peraturan.

Operasi seterusnya yang berlangsung pada 16 November 2024 di Plaza Tol Gombak, bermula jam 6.00 pagi itu pula melibatkan tujuh anggota JPJ, dengan fokus pemeriksaan motosikal. Sebanyak 42 kenderaan diperiksa dan 104 notis kesalahan dikeluarkan, termasuk 102 kesalahan berkaitan P22.

Operasi turut disertai oleh YM Raja Nursyuhaidah binti Raja Azmi, Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKL, serta pegawai dan anggota JPJ WPKL.

BBerkaitan

Latest articles