More

    Lebih 10,000 Pegawai, Anggota Polis Positif Covid-19, Kena Kuarantin

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan lebih dari 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

    Situasi ini memberi kesan kepada keupayaan dan kekuatan pasukan polis untuk bertugas menjaga keselamatan dan keamanan negara.

    Hamzah berkata risiko jangkitan di kalangan pasukan polis adalah tinggi memandangkan mereka terdedah kepada individu yang belum dipastikan tahap jangkitannya.

    “Penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.

    “Walaupun mereka (polis) memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat. Penjarakan sosial tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata terdapat juga anggota yang ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan masuk pendatang tanpa izin.

    “Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Okt, pasukan keselamatan telah menahan 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak,” katanya sambil mengakui bahawa sumber dan kekuatan polis telah digunakan pada tahap maksimum.

    Hamzah dalam masa yang sama menggesa rakyat Malaysia untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    “Ramai juga antara mereka yang masih belum pernah berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga. Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini