PUTRAJAYA: Lebih 1,000 peserta terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi, wakil NGO serta tokoh-tokoh masyarakat berhimpun dalam perarakan aman ‘Membela Kebebasan Kehakiman’ anjuran Majlis Peguam yang bermula sekitar jam 2.30 petang tadi di perkarangan Istana Kehakiman.
Perarakan sejauh kira-kira 2.6 kilometer menuju ke Pejabat Perdana Menteri itu berlangsung dalam suasana tertib sebagai manifestasi solidariti mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara yang kini menjadi perhatian susulan pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
Antara yang kelihatan menyertai perarakan termasuk Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersama suaminya, bekas Menteri Tan Sri Rais Yatim, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, peguam Haniff Khatri Abdullah, bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan serta aktivis sosial Siti Kassim.
Turut hadir beberapa pimpinan Perikatan Nasional seperti Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataannya menegaskan perarakan ini bukan semata-mata suara peguam, tetapi suara rakyat Malaysia yang prihatin dengan masa depan institusi kehakiman.
“Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara akan menanggung akibatnya. Ini bukan tentang individu, ini tentang mempertahankan institusi dan prinsip asas Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perarakan ini sah di sisi undang-undang dan mencerminkan komitmen profesion undang-undang terhadap prinsip pengasingan kuasa serta kedaulatan undang-undang.
Dalam perarakan yang berlangsung para peserta yang rata-ratanya memakai kot hitam dilihat berarak sambil melaungkan slogan ‘bebaskan kehakiman’.
Perarakan itu diakhiri dengan penyerahan memorandum kepada wakil kerajaan di Pejabat Perdana Menteri.
Memorandum tersebut membawa enam tuntutan utama termasuk:
• mendesak penjelasan segera berhubung pendedahan minit mesyuarat JAC;
• penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman;
• penyelesaian segera isu kekosongan jawatan kehakiman;
• dan memastikan proses pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman dibuat dengan telus.
Majlis Peguam sebelum ini menegaskan kebebasan kehakiman adalah tiang utama demokrasi yang tidak boleh dikompromi, justeru perlu sentiasa dipertahankan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat.