Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Januari lalu telah mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Abu Dhabi, UAE sebagai sebahagian daripada usaha strategik negara untuk mempertingkatkan pelaburan asing ke negara ini.
Antara fokus utama lawatan ini adalah pertemuan dengan Pengurusan Tertinggi ADIA (Abu Dhabi Investment Autorithy), salah satu dana terbesar dunia dengan aset pelaburan dianggarkan melebihi USD 1 trilion
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berpeluang mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara berkepentingan negara bersama Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan.
Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, berkata lawatan Perdana Menteri itu adalah penting kerana tumpuan negara pada masa ini adalah kepada sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui yang memerlukan suntikan dana lebih besar.
“Dua sektor ini semakin berkembang pesat dan menarik perhatian pelabur global. ADIA berpotensi untuk melabur dalam sektor-sektor ini, seperti yang dilakukan oleh ARAMCO di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC), Teluk Pengerang, Johor,” katanya.
Azmi berkata, strategi pertemuan secara bersemuka antara Perdana Menteri dengan Pengarah Urusan ADIA ini membuka ruang lebih luas dalam usaha negara mempertingkatkan pelaburan tertentu ke Malaysia bagi tahun ini dan tahun tahun mendatang.
Katanya, seperti yang diketahui umum Anwar seorang yang sangat mahir berkomunikasi dan itu akan menjadi antara faktor utama yang membuka ruang lebih besar dalam usaha menarik pelaburan demi kepentingan negara.
“Bagi saya pertemuan secara langsung dengan ADIA adalah penting…ia telah memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk meyakinkan mereka tentang kestabilan politik dan ekonomi Malaysia sekaligus mempertingkatkan lagi pelaburan sedia ada.
“Kestabilan negara dari segi politik dan ekonomi merupakan faktor utama yang dipertimbangkan oleh pelabur sebelum membuat keputusan melabur di sesebuah negara.
“Oleh itu, kehadiran Perdana Menteri dalam pertemuan tempoh hari lebih bertujuan untuk memberikan jaminan mengenai landskap pelaburan Malaysia yang kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ADIA menzahirkan komitmen untuk menjayakan pelbagai pelaburan yang telah dirancang di Malaysia.
Hasrat itu disampaikan Pengarah Urusannya dalam pertemuan tertutup bersama Anwar pada Isnin lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut hadir dalam mesyuarat itu berkata komitmen berkenaan turut melibatkan pelaburan dalam transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Dalam pada itu, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya, menzahirkan kesyukuran mengenai lawatan ke UAE yang mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-UAE.
Beberapa kerjasama baharu berjaya dimeterai termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan memperkasa inisiatif kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.