Lawatan PM ke Arab Saudi tidak gagal – J-Kom

KUALA LUMPUR – Dakwaan pembangkang bahawa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini sebagai gagal adalah tidak benar sama sekali.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, mereka tidak sepatutnya menilai hasil lawatan itu berdasarkan tiga isu iaitu Anwar hanya disambut oleh Gabenor Jeddah sahaja, tidak dibawa masuk ke dalam Kaabah dan tiada pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud serta Putera Mahkota Mohammad Salman.

Beliau mempersoalkan mengapa pembangkang berjiwa kecil sehingga tidak dapat melihat kejayaan Anwar sepanjang tiga hari lawatannya ke Arab Saudi di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Mekah.

“Selain itu, beliau menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.

“Beliau turut mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana.

“Perdana Menteri juga membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Agus mengulas kenyataan Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempertikaikan lawatan rasmi Anwar dengan menyentuh bahawa tiada laporan mengesahkan Anwar bertemu dengan kedua-dua pemimpin tertinggi Arab Saudi.

Wan Ahmad Fayhsal turut membandingkan layanan yang diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap pemimpin PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mereka ke Arab Saudi sebagai Perdana Menteri.

Mohammad Agus menambah, realitinya, Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi hanya setelah setahun menjadi Perdana Menteri.

Beliau memberitahu, hasrat Muhyiddin untuk bertemu Raja Salman secara bersemuka pada Mac 2021 gagal dan mereka hanya bertemu secara dalam talian sahaja.

“Tetapi kerana perbezaan (atau mungkin dendam) politik, lawatan Anwar digambarkan sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja,” jelasnya.

Mohammad Agus mengingatkan bahawa Anwar telah menjelaskan mengapa beliau perlu pulang ke negara ini walaupun pimpinan Arab Saudi telah meminta lawatannya dilanjutkan dua hari lagi.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat agar Anwar dapat bertemu dengan pimpinan negara itu berikutan perubahan jadual Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammad menjelang Ramadan.

“Namun, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan Kabinetnya ada majlis berbuka puasa dengan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China, Xi Jinping dan Li Qiang.

“Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah melibatkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa Perdana Menteri kita yang bekerja kuat untuk negara,” katanya.

Mohammad Agus berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar tidak dibawa mengikuti lawatan tersebut kerana program itu adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan.

Beliau juga menafikan dakwaan pembangkang kononnya Raja Salman dan putera mahkotanya tidak menyukai Anwar.

“Faktanya ialah mereka adalah antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohammad Agus meminta pembangkang bertanya kepada Anwar sendiri sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan hasil dan kos lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi.

“Setiap Selasa Perdana Menteri sedia menjawab. Jangan pula tidak datang masa itu. Dari situlah, baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles