KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga hari berjaya mencapai matlamat utama dalam memperkukuh hubungan dua hala, kerjasama ekonomi, dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Lawatan ini diadakan atas undangan Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, serta bersempena Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW).
Kejayaan dalam Kerjasama Dua Hala
Dalam pertemuan bersama Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Anwarmengundang UAE untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan LIMA 2025.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pelaburan, perbankan, tenaga boleh baharu dan nuklear, pelancongan, kemampanan, serta kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Kenya dan Uganda untuk memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan, termasuk dalam sektor eksport minyak sawit ke Afrika.
Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) Bersejarah
Lawatan ini menyaksikan Malaysia dan UAE menandatangani beberapa dokumen penting, antaranya Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) yang dijangka meningkatkan eksport Malaysia ke UAE sehingga AS$13.5 bilion menjelang 2032.
Begitu juga Malaysia Berjaya memeterai MoU Kerjasama Inisiatif AI, yang memperkukuh transformasi digital Malaysia dalam era kecerdasan buatan.
Selain itu, Malaysia turut mengambil peluang di Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) untuk menekankan peranan ASEAN sebagai blok ekonomi dan budaya yang cemerlang dalam ekosistem global.
Pelaburan Syarikat Gergasi UAE
Salah satu kejayaan besar lawatan ini ialah pertemuan dengan syarikat pemegang dana berdaulat UAE seperti MASDAR, ADIA, dan MUBADALA.
Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), salah satu dana pelaburan terbesar dunia, menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan strategik di Malaysia, termasuk dalam projek transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Dalam pada itu Anwar melahirkan keyakinan tinggi dengan hasil lawatan kerja ke UAE baru-baru ini.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-UAE.”
“Beberapa kerjasama baharu berjaya dimeterai, termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan memperkasa inisiatif kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.”
Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang utama UAE di Asia, tetapi juga membuka peluang lebih luas bagi pelaburan, inovasi teknologi, dan pembangunan mampan di Malaysia.
Dengan kejayaan ini, Malaysia terus meneguhkan peranannya di pentas antarabangsa sebagai sebuah negara berdaya saing, inovatif, dan mesra pelabur, seiring dengan agenda Malaysia MADANI.