KUALA LUMPUR: Faktor keselamatan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, dikenal pasti sebagai antara sebab utama polis menghalang perhimpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dirancang berlangsung semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, larangan tersebut dikeluarkan hasil risikan menyeluruh yang mendapati wujud ancaman terhadap keselamatan awam, selain polis turut menerima sebanyak 138 laporan berkaitan isu berkenaan.
“Keselamatan awam mengatasi segala-galanya. Berdasarkan risikan dan ancaman yang dikesan, polis mengeluarkan arahan supaya perhimpunan tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Namun, Fadil memaklumkan perhimpunan tetap berlangsung walaupun arahan larangan telah dikeluarkan, memaksa polis mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menahan 23 individu di Kuala Lumpur serta tiga lagi di Klang.
Beliau menegaskan, tindakan diambil tanpa mengira bangsa atau latar belakang mana-mana pihak yang terlibat dan memberi amaran supaya tiada cubaan mencetuskan gangguan ketenteraman awam.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan agar tidak membangkitkan isu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh mencetuskan ketegangan serta mengancam keselamatan negara.
“Sebarang pandangan atau cadangan kepada kerajaan perlu disampaikan melalui saluran yang betul, bukan melalui tindakan berbaur hasutan,” katanya sambil mendedahkan kumpulan terbabit turut dikesan mengeluarkan ancaman menerusi media sosial termasuk TikTok.
Menurut Fadil, polis akan terus memantau situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.










