Kuala Lumpur : Lawatan luar negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Walaupun dikritik oleh sesetengah pihak sebagai membazir, hakikatnya lawatan ini membawa kepentingan strategik yang signifikan, terutamanya dalam aspek ekonomi dan geopolitik serantau.
Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, berkata Perdana Menteri singgah di Itali dan Perancis dengan objektif utama membuka pasaran baharu bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga bagi seluruh rantau ASEAN.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, beliau turut memainkan peranan penting dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan Kesatuan Eropah.
“Lawatan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada sinergi yang lebih luas dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua blok serantau.
“Di samping itu, lawatan ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS turut memberi dimensi baharu kepada strategi ekonomi Malaysia dan ASEAN.
“Dalam pertemuan tersebut, perbincangan telah diadakan mengenai potensi Brazil sebagai pintu masuk bagi ASEAN, khususnya Malaysia, ke pasaran Amerika Latin,” katanya.
Azmi berkata, lawatan ke Brazil itu sangat penting dalam keadaan pasaran Amerika Syarikat kini tidak lagi stabil dan lumayan disebabkan oleh dasar perlindungan dan kerenah birokrasi yang semakin meningkat ketika ini.
Beliau bependapat, kritikan terhadap lawatan ini seringkali tertumpu kepada pertanyaan mengenai jumlah pelaburan yang berjaya dibawa pulang namun manfaat sebenar lawatan ini tidak hanya dapat diukur melalui angka pelaburan semata-mata.
“Terdapat manfaat tersirat yang lebih besar, khususnya dari sudut pengukuhan kedudukan geopolitik dan diplomatik Malaysia serta ASEAN di peringkat global.
“Antara pencapaian penting ialah persetujuan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober di Kuala Lumpur sebagai pemerhati.
“Ini merupakan kali pertama kedua-dua negara itu dijemput secara rasmi dan bersetuju untuk hadir, mencerminkan penghormatan tinggi terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Kehadiran pemimpin dunia dari Amerika Syarikat, Rusia, dan China turut diusahakan bagi menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sebagai yang terbesar pernah dianjurkan,” katanya.
Jelasnya, dengan kehadiran kuasa besar dunia, pelbagai isu global termasuk konflik Ukraine-Rusia, ketegangan di Timur Tengah, serta hubungan antara India dan Pakistan amat berpotensi untuk dibincangkan secara langsung oleh para pemimpin utama dunia.
“Secara keseluruhannya, lawatan antarabangsa Datuk Seri Anwar Ibrahim ini bukan sekadar misi diplomatik, tetapi juga satu langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN dan Malaysia di pentas global. Ia membuka ruang kepada kerjasama lebih erat, memperluas pasaran, dan menempatkan ASEAN sebagai aktor yang lebih dihormati dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa,” katanya.