PUTRAJAYA: Laporan siasatan awal berhubung nahas tragis membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, laporan tersebut akan diserahkan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden berkenaan.
“Ya, pasukan petugas khas akan menyerahkan laporan siasatan selepas tempoh 30 hari tamat. Saya sendiri akan membentangkannya kepada Kabinet untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pasukan khas itu ditubuhkan pada 15 Mei lalu dan diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan awal kepada Kementerian Pengangkutan.
Ia dipengerusikan oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara, Brig Jen Tan Chee Kee dan turut dianggotai Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad serta Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.
Insiden menyayat hati itu berlaku pada pagi 13 Mei apabila trak membawa anggota FRU bertembung dengan sebuah lori muatan batu, mengakibatkan sembilan anggota terbunuh di lokasi kejadian.
Dua lagi anggota dilaporkan parah manakala tujuh cedera.
Ketika kemalangan berlaku, kesemua anggota FRU dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas kawalan sempena perayaan Chitrapournami.