Laporan data analisis Covid-19 sahih, tepat – Adham

Semua data-data dan laporan analisis harian kes Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sahih dan tepat.

Malah, kesemua maklumat yang didedahkan kepada umum melalui verifikasi daripada pelbagai peringkat di KKM, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Semakan terhadap semua data akan dilaksanakan oleh pegawai bertanggungjawab di Kementerian Kesihatan Malaysia. Data yang telah disahkan ini akan didaftarkan sebagai data harian Covid-19 Malaysia.

“Data ini diguna pakai untuk penyediaan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan dan analisa situasi Covid-19 di Malaysia termasuk trend kes, kadar kebolehjangkitan, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan.

“Kesemua maklumat yang telah disemak ini kemudiannya dihantar kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk pengesahan terakhir sebelum dibentangkan,” katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan program vaksinasi, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Adham mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya data-data harian yang dikeluarkan oleh KKM sengaja direka-reka.

Katanya, data-data yang diberi bukanlah satu perkara yang dibuat-buat sebaliknya, ia memang hasil pengesanan kes di lapangan.

Jelas beliau lagi, data-data Covid-19 di Malaysia dikendalikan mengikut prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan sahih.

Ujarnya, semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital, mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta wajib dimuatnaik dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Sistem tersebut sentiasa dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“PKD bertanggungjawab untuk membuat siasatan, urusan kemasukan sama ada ke hospital, pusat kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau dirawat di rumah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan.

“Selain daripada itu, PKD juga menjalankan saringan ke atas kontak rapat dan mengeluarkan arahan kuarantin,” jelasnya.

Tambah beliau, semua data yang telah lengkap dari PKD dihantar ke Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) negeri sebelum disalurkan ke CPRC Kebangsaan setelah verifikasi dijalankan.

Katanya, data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya pada pukul 12 tengahari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan dan seterusnya data itu dianalisa dan diverifikasi sebelum ia didaftarkan

BBerkaitan

Latest articles