Laporan Awal Kejadian Tanah Runtuh Batang Kali Sudah Dibentang Ke Kabinet Semalam – Nik Nazmi

CYBERJAYA, (BERNAMA): Laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu sudah dibentangkan ke Kabinet semalam, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tanpa mendedahkan inti pati laporan itu, beliau berkata, laporan awal bencana tanah runtuh yang disediakan kementeriannya menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu, sudah dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebarang maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh (tragedi itu) siap dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini sebagai mengulas status terkini laporan tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata laporan penuh akan dibentangkan ke Kabinet dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga akan mengambil pendekatan holistik meliputi aspek undang-undang dan struktur pembangunan supaya insiden sama tidak berulang.

Seramai 31 lagi terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan itu.

BBerkaitan

Latest articles