KUALA LUMPUR: Seramai lapan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk rehlah ke Port Said.
Menurut kenyataan Education Malaysia Egypt (EME), lima pelajar mengalami luka ringan dan telah dirawat sebagai pesakit luar. Mereka dikenal pasti sebagai Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi, dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.
Sementara itu, tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi, telah dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut di hospital.
Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie, bersama Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman, segera bergegas ke Hospital As Salam di Port Said untuk meninjau keadaan pelajar yang terlibat.
Pihak Universiti Al-Azhar turut memberikan perhatian terhadap insiden ini. Beberapa pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab kampus Port Said, termasuk Dr. Syaima Amir Al Bana, Dr. Fauziyah Muhallal, Dr. Ahmad Al Sudani, dan Madam Syaima’ Al Huseini, telah dihantar untuk membantu rawatan serta memudahcarakan urusan dengan pihak hospital.
Menjelang awal pagi tadi, tiga pelajar yang sebelum ini dirawat di wad telah dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan susulan.
Pihak EME terus memantau keadaan para pelajar yang terlibat dalam insiden ini.