Lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara – Ismail Sabri

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang berlangsung semalam bersetuju menggariskan lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.

Katanya, lapan langkah penambahbaikan itu adalah Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR); Penekanan Terhadap Inisiatif DRR; Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR; serta Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana.

Selain itu, Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat dalam Pengurusan Bencana dan DRR; Pemerkasaan Dasar dan Mekanisme Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan; Peningkatan Kemahiran dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik; dan Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap ‘Localisation’ dalam Pengurusan dan DRR.

“Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik,” menurut Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles