KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan Perdana Menteri melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi menyebabkan banyak pihak yang mengangkat ‘bendera merah’ yang bermaksud bahaya.
Mengulas lanjut, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri kebanyakan rakyat menutup ‘sebelah mata’ atau memaafkan tindakan itu.
Mungkin pada waktu itu rakyat percaya kepada integriti Anwar dan memberi tafsiran mereka sendiri bahawa Anwar dalam keadaan tiada pilihan apabila melantik Presiden UMNO tersebut.
Katanya, Anwar yang juga Presiden Pkr sebagai peribadi tiada masalah kerana beliau mempunyai sikap amanah dan intergriti dalam soal kewangan dan ekonomi yang boleh dipuji.
“Pernah menjadi Menteri Kewangan yang terbaik. Dia tidak pernah terkait dengan isu rasuah, pecah amanah jenayah ataupun pengubahan wang haram.
“Tetapi yang kita bicarakan di sini bukan soal peribadi tetapi ialah soal sistem tatakelola pentadbiran atau sering disebut “good governance”.
“Malaysia menuntut sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti,” jelas beliau.
Tambah Hassan, ketelusan dan integriti merupakan intipati perjuangan reformasi pentadbiran yang diperjuangkan oleh Anwar berserta ratusan ribu penyokongnya di seluruh negara selama ini.
Justeru menurut beliau, sudah sampai masanya meluruskan perjuangan reformasi yang berliku-liku dan kadang-kadang berlengkang-lengkok selama hampir suku abad yang dipimpin Anwar.
“Adalah diharapkan tulisan ini dapat dibaca oleh Anwar Ibrahim sendiri dan sekian penyokongnya yang begitu ramai berdoa agar Anwar Ibrahim dapat menyelamatkan rakyat dan negara tercinta ini.
“Gading mana yang tak retak. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Begitu juga, pemimpin mana yang tidak berbuat silap, sama ada kecil ataupun besar.
“Justeru itu, penulis berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim timbanglah semula, fikirlah semula. Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya.
Hassan berkata, beliau tidak mempunyai niat untuk mencemar nama baik Anwar sebagai pemimpin.
Tulisan berterus terang yang dikongsi di media sosial tersebut lahir dari hasrat ingin melihat Anwar selamat dalam memimpin kerajaannya.
“Ia datang bukan dari seorang pembangkang atau pengkritik. Tulisan ini datang dari seorang sahabat dan rakan seperjuangan selama ini,” tambahnya.