KUALA LUMPUR: Amanah menyifatkan pengakuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa beliau menggerakkan Langkah Sheraton pada tahun 2020 yang lalu, menyerlahkan parti itu terdesak untuk kekal berkuasa.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad juga menyelar sikap Abdul Hadi itu amat jauh berbeza dengan keperibadian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Khalid mendakwa, jika Allahyarham Nik Abdul Aziz masih ada sudah pasti beliau tidak akan bersetuju dengan Langkah Sheraton itu kerana menghormati mandat yang telah diberikan oleh pengundi-pengundinya.
“Abdul Hadi sangat terdesak dalam memastikan PAS kekal berkuasa dan PH tidak kekal berkuasa kerana semakin lama PH berkuasa, semakin terkenal kita dan semakin sukar untuk PAS mengendalikan ahli dan penyokong mereka sendiri.
“Saya tidak terkejut jika Hadi adalah salah seorang dalang kerana ia boleh berfikiran jahat dan seperti yang saya katakan Allahyarham tok guru (Nik Abdul Aziz) tidak akan bersetuju dengan perkara itu (Langkah Sheraton),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik (MUDA), hari ini.
Semalam, Abdul Hadi ketika berucap pada Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan Ke-32 Pentadbiran Membangun Islam di Kota Bharu, Kelantan dilapor mengakui beliau memulakan Langkah Sheraton, bertujuan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) selepas PAS beranggapan gabungan itu sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.
Menurut laporan itu, ia berikutan protes besar-besaran ke atas cubaan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, sebelum ini.
Beliau turut mengakui memulakan langkah bagi menghentikan rancangan PH dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.