KUALA LUMPUR: Terlalu banyak kos yang akan ditelan sekiranya benar dakwaan wujudnya Langkah London untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, demikian jawapan sinis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah London itu jauh sangat. Murah lagi buat di Langkah Kajang,” katanya ketika ditanya media mengenai dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.
Langkah Kajang yang dirujuk Anwar merupakan krisis politik kerajaan Selangor pada 2013, dalam menggantikan menteri besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Langkah Kajang itu menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014 dan Pemilihan PKR pada tahun yang sama.
Namun, jawatan Menteri Besar Selangor hanya dapat dilucutkan melalui pembubaran DUN (melalui permohonan menteri besar kepada sultan), undi tidak percaya dalam sidang DUN (kehilangan majoriti), atau menteri besar meletakkan jawatan.
Terdahulu khabar angin mengenai Langkah London dilaporkan sebuah portal berita selepas gambar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup di London.
Kononnya terdapat rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Turut dikaitkan dengan Langkah London adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan fitnah pihak yang “tidak mengenal dosa”, selain mengakui beliau lebih banyak berdiam diri untuk mengelak daripada menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi.
Semalam, Ahmad Zahid enggan mengulas mengenai khabar angin berhubung ‘Langkah London’ bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang turut mengaitkan pemimpin partinya.
Sebaliknya beliau menyifatkan dakwaan itu adalah khabar angin dan beliau tidak akan membuat keputusan berdasarkan kepada khabar angin.