‘Langkah Kinabalu’ Diteruskan Warisan, UMNO Pada PRN Sabah Akan Datang

KUALA LUMPUR: Warisan dan UMNO akan saling bekerjasama menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang berkemungkinan diadakan pada tahun depan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga bersetuju dengan hasrat berkenaan.

GRS diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pentadbiran Hajiji pernah dicabar pada awal tahun ini, menerusi Langkah Kinabalu apabila kedua-dua parti Warisan dan UMNO mahu menjatuhkan kerajaan.

Dalam pada itu Shafie memberitahu hasrat awal kerjasama itu turut diajukan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), namun kedua-duanya yang juga komponen dalam GRS menolak pelawaan.

“Tetapi bila saya bincang dengan Bung tak jadi masalah, jadi kita bekerjasama atas dasar untuk membela rakyat Sabah.

“Dia pun rakan lama saya, saya pun bekas bos dia (sebagai bekas naib presiden Umno) tapi saya bukan kaki lompat cuma dipecat parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Warisan di Kota Kinabalu.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut hadir pada majlis itu dan diberi sambutan hangat daripada perwakilan Warisan.

Selain kerjasama dengan Warisan, Bung sebelum ini berkata Umno turut mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Tempoh DUN Sabah akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Hajiji memberi bayangan ia mungkin diawalkan termasuk tahun depan.

Langkah Kinabalu yang ‘tidak menjadi’ menyaksikan Bung dipecat sebagai timbalan ketua menteri, selain menyebabkan UMNO Sabah berpecah apabila ada wakil rakyatnya menyokong Hajiji.

BBerkaitan

Latest articles