Langkah Kemasukan Pelajar Asing Diperketat, M’sia Tak Mahu Jadi Pusat Lambakan Sijil Palsu

KUALA LUMPUR: Satu daripada 10 agenda transformasi Pendidikan tinggi adalah untuk membangunkan dan memperketatkan sistem kemasukan pelajar antarabangsa supaya Malaysia tidak menjadi pusat lambakan sijil palsu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, langkah berkenaan akan diambil bagi memastikan integriti dan kecemerlangan sektor berkenaan terus dipertahankan.

“Sebuah jawatankuasa juga sudah dibentuk dengan perbincangan awal untuk mencari formula dan kaedah terbaik sedang berjalan. KPT dalam proses membangunkan satu sistem untuk kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia sebagai langkah pemusatan kemasukan pelajar golongan ini.

“Ia bagi memastikan kelayakan serta sijil yang dihantar melalui permohonan pelajar antarabangsa adalah sahih dan setaraf dengan kelayakan untuk memasuki ke institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Sistem pemusatan pelajar antarabangsa ini akan menggunakan sistem algoritma dan teknologi block chain yang dibangunkan.

“Sistem ini membolehkan ia membuat pengesahan segera kelayakan dan sijil dikemukakan pelajar antarabangsa dengan Malaysia akan bekerjasama dengan negara asal pelajar antarabangsa yang membuat permohonan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, hari ini.

Menurut Zambry, pada ketika ini kemasukan pelajar antarabangsa dipantau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dimana prosesnya memakan masa dan agak panjang.

Apabila pelajar antarabangsa membuat permohonan, MQA akan membuat pemeriksaan balas ke negara asal pemohon dan ia mengambil masa untuk pengesahan sebelum ia diluluskan.

Objektif KPT, menurutnya, untuk memastikan sesiapa yang datang belajar ke negara ini daripada segi kelayakan dan sijil yang digunakan mestilah sahih serta sah.

“Isu ini bukan hanya babitkan Malaysia malah negara lain ada membincangkannya pada persidangan pendidikan tinggi antarabangsa yang diadakan di Sarawak baru-baru ini.

“Kebimbangan kami bagaimana nak memastikan permohonan (pelajar antarabangsa) yang masuk dan belajar ke negara bukan hanya Malaysia malah negara lain dapat disahihkan dan sahkan dari segi kelayakan dan sijil-sijil dikemukakan,” katanya.

Selain transformasi pendidikan tinggi negara membabitkan pemusatan pelajar antarabangsa, Zambry turut mengumumkan sembilan agenda transformasi lain.

Ia termasuk kajian semula kenaikan pangkat KPT, kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, kebebasan bersuara di universiti (Akta 605), mengkaji semula akta institusi pengajian tinggi swasta (Akta 555) dan pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.

BBerkaitan

Latest articles