IPOH: Kementerian Pendidikan memandang serius isu kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata maklumat awal yang diterima pihaknya mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu wang berjumlah RM100,000 dikeluarkan.
Beliau berkata, kes itu kini berada dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.
“Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di sini hari ini.
Fadhlina berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.
Beliau berkata kementerian akan mengembalikan semula wang itu kepada sekolah berkenaan memandangkan ia hak yang perlu dipulangkan kepada murid sekolah melalui proses yang sepatutnya.
“Tindakan kepada guru besar pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” katanya.
Semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.