KUALA LUMPUR: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar yang ditutup sementara berikutan insiden melibatkan pesawat tentera udara (TUDM) petang tadi telah dibuka semula pada 8 malam.
Pengurus LTSAH Ikram Alif Mansoor berkata, landasan yang ditutup pada 5.30 petang itu dibuka semula selepas kerja-kerja pemindahan pesawat, pembersihan serta pemeriksaan selesai.
Katanya, empat penerbangan melibatkan ketibaan dan pelepasan yang tergendala akibat insiden itu telah disusun semula.
“Kita sedang menyusun jadual untuk semua penerbangan yang terlibat … ada juga penerbangan yang melibatkan jemaah haji, jadi kita akan cuba selesaikan malam ini juga,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, Malaysia Airports memaklumkan landasan LTSAH dijangka ditutup hingga 10.30 malam.
Pihak tentera udara sebelum ini mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk tergelincir ketika mendarat di LTSAH kira-kira 5 petang tadi, dipercayai kerana mengalami masalah pada bahagian ‘nose landing gear’.
Kejadian berlaku ketika pesawat itu menjalani latihan ‘Opening Gambit’ sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) 2025.
Menurut pihak tentera, juruterbang pesawat itu tidak mengalami sebarang kecederaan.