Landasan Berkembar Elektrik Gemas–JB Diserahkan Secara Rasmi, Mobiliti Negara Melakar Sejarah Baharu

JOHOR BAHRU,— Malaysia hari ini melakar sejarah penting dalam pembangunan pengangkutan awam negara apabila Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru disempurnakan dan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan.

Majlis penyempurnaan dan pengoperasian projek itu disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Projek strategik sepanjang 192 kilometer itu melengkapkan rangkaian tren elektrik dari Padang Besar hingga ke Johor Bahru, sekali gus menjadi pemangkin transformasi mobiliti negara.

Menurut siaran akhbar SIPP–YTL JV, majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, kepimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri serta pengurusan SIPP–YTL JV yang diterajui Pengarah Urusan, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.

Perjalanan KL–JB Kini Hanya 4 Jam 20 Minit

Projek ini membabitkan pembinaan 11 stesen baharu berteras identiti warisan Johor, selain memodenkan sepenuhnya koridor rel selatan.

Perjalanan antara KL Sentral – JB Sentral dipendekkan kepada kira-kira 4 jam 20 minit, berbanding sekitar 7 jam sebelum ini, dengan kelajuan operasi sehingga 140 km/j.

Simbolik penyempurnaan projek disempurnakan apabila Datuk Seri Yeoh menyerahkan projek tersebut kepada Kementerian Pengangkutan, diwakili Anthony Loke, selaku pemilik projek.

Perdana Menteri dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada SIPP–YTL JV atas kejayaan menyiapkan projek bertaraf dunia itu.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam moden dan berkualiti tinggi, sekali gus membawa manfaat langsung kepada rakyat selaras aspirasi RMK-13,” katanya.

Penanda Aras Baharu Kejuruteraan Rel Negara

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula menyifatkan projek itu sebagai hasil kerjasama strategik antara kementerian, RAC, KTMB dan SIPP–YTL yang bakal memperkukuh pembangunan Johor dan negara.

Datuk Seri Yeoh menegaskan pembinaan landasan berkembar itu menuntut ketepatan kejuruteraan tinggi merangkumi landasan, jambatan, stesen, depot dan sistem sokongan.

“Setiap komponen dibina mengikut piawaian bertaraf dunia. Landasan ini menetapkan penanda aras baharu pembangunan rel negara,” katanya.

Mengenai SIPP–YTL JV

SIPP–YTL JV merupakan kerjasama antara SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction, bertindak sebagai sub-kontraktor utama tempatan dalam projek rel strategik ini. Konsortium itu menyokong pengukuhan rangkaian rel utara–selatan serta pembangunan ekonomi dan mobiliti rakyat.

BBerkaitan

Latest articles