KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dibuka semula bermula jam 6 pagi esok.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pembukaan sepenuhnya itu dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Saya baharu saja menaiki tren LRT laluan Kelana Jaya sebagai sebahagian daripada sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi.
“Saya amat berpuas hati dengan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan.
“APAD juga telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya untuk beroperasi sepenuhnya, katanya dalam satu kenyataan.
Ka Siong, berkata selain APAD, sesi ujian malam tadi sehingga awal pagi ini turut disertai Bahagian Penguat kuasa Rel (RED) dan Bahagian Perancangan (REL).
Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.
“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian.
“Saya juga telah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas perantara di stesen hot spot sebagai langkah persediaan,” katanya.
Ka Siong, turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat selain meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah sama tidak berulang.
Bagi pengguna yang terjejas, beliau berkata pampasan tiket akan diberikan selama tujuh hari.
“Seperti dinyatakan pada sidang media 11 November lalu, saya telah meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah sama tidak berulang.
“Saya berterima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan semua pihak yang terbabit, bertungkus-lumus 24 jam sehari, membaiki dan memulihkan sistem sejak hari pertama kejadian. Terima kasih juga kepada seluruh warga Rapid Bus, Smart Selangor dan Mara Liner yang menyediakan lebih 100 bas perantara percuma setiap hari.
“Terima kasih juga atas usaha sebahagian warga kota yang membantu menyediakan ‘shuttle’ percuma menerusi media sosial dengan kenderaan sendiri mengangkut penumpang dari stesen LRT ke destinasi mereka. Usaha ini amat dipuji dan bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya.