SEPANG: Seorang wanita tempatan diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas cuba menyeludup keluar beberapa ekor haiwan eksotik dilindungi ke luar negara melalui penerbangan antarabangsa malam tadi.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), suspek berusia 36 tahun itu ditahan sekitar 9.10 malam ketika cuba menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH0198 ke Hyderabad, India.
Tangkapan dilakukan hasil pemeriksaan rutin pegawai AKPS di kawasan Hammerhead H2, KLIA Terminal 1, yang menemui haiwan-haiwan berkenaan disembunyikan dalam bagasi milik suspek.
“Suspek merupakan warganegara Malaysia berasal dari Negeri Sembilan. Pemeriksaan ke atas bagasinya menemui sejumlah spesies dilindungi yang disyaki cuba diseludup ke luar negara,” jelas kenyataan itu.
Antara haiwan yang dirampas adalah empat ekor disyaki siamang, seekor disyaki beruk dan empat ekor lagi disyaki sugar glider.
Kesemua haiwan tersebut dipercayai cuba diseludup bagi tujuan perdagangan haram hidupan liar antarabangsa, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM127,000.
Suspek telah diserahkan kepada pihak Polis KLIA untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
AKPS dalam kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kerjasama bersepadu antara AKPS KLIA dan Unit Keselamatan Penerbangan (AVSEC) akan terus dipergiatkan bagi menghalang penyeludupan hidupan liar melalui sempadan udara negara.
“Kami komited untuk memperkukuh kawalan dan risikan agar Malaysia tidak menjadi transit mahupun destinasi kegiatan perdagangan haram haiwan eksotik,” katanya.