KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim didakwa mengambil langkah ke belakang apabila tidak lagi mengangkat perjuangan reformasi yang sering dilaungkan ketika menjadi pembangkang dahulu.
Malah Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa selepas Anwar mengambil alih kerajaan, beliau menggunakan larangan menyentuh isu-isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) sebagai cara untuk menutup mulut rakyat.
“Dahulu semasa PMX berada di luar Kerajaan, laungan reformasi dijerit-jerit. Sekarang kebebasan bersuara terhad kepada menyokong Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Namun Dr. Mahathir berkata, perkara yang berlaku pada masa ini adalah sebaliknya.
“Di masa ini, kenyataan yang benar dari segi sejarah dianggap oleh media cetak sebagai hasutan,” tambah beliau.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam pada semalam menyifatkan reformasi tidak berjaya kerana Dr. Mahathir tidak didakwa di mahkamah.
“Kalau tanya saya Reformasi berjaya tak? Tak berjaya. Sebab kita nak hapuskan korupsi, kronisme dan nepotisme…tapi sampai sekarang (Mahathir tak didakwa di mahkamah).
“Untuk mengukur kejayaan Reformasi sekurang-kurangnya kena heret Mahathir ke mahkamah,” kata Lokman.
Beliau berkata demikian sebagai panel sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi yang berlangsung semalam.