KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sekali lagi menyerang kepimpinan parti lamanya, dengan kali ini mendakwa naratif yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelamatkan UMNO daripada diharamkan hanya dakwaan untuk menyedapkan cerita.
Tambah Annuar, sekiranya benar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mengharamkan UMNO, bagaimana pula beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.
“Malah sudah terbukti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang membawa UMNO menjadi kerajaan, bukan mengharamkan, malah akhirnya menyerahkan kerajaan kepada UMNO dengan melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM.
“Jadi pada saya, cerita DS Anwar “selamatkan UMNO dari diharamkan” bukan saja telah dinafikan sendiri Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan TSMY, malah ini hanyalah rekaan umpama ajinomoto menyedapkan cerita, menjelang PRN Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.
‘Serangan’ Annuar tidak terhenti selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggelarkan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sebagai ‘kaduk naik junjung’.
Ini selepas beliau membuat kenyataan berbeza dengan semua kepimpinan parti itu yang mengetahui akan langkah mengharamkan UMNO ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Ia susulan Annuar menafikan wujud usaha untuk mengharamkan UMNO.
Annuar, pada hari ini menyenaraikan tiga dalil mengenai dakwaan Ahmad Zahid cuba menjual naratif bahawa Anwar yang menghalang Dr. Mahathir dan Muhyiddin daripada mengharamkan UMNO.
Kononnya beliau sendiri yang menyemak dengan Dr. Mahathir dan Muhyiddin bahawa kedua-dua pemimpin tersebut tidak pernah mengambil keputusan untuk mengharamkan UMNO.
“Kedua, mengetahui cara kepimpinan Tun Dr Mahathir, jika benar dia hendak mengharamkan UMNO, tidak mungkin ada orang yang dapat menghalangnya. Apa lagi Datuk Seri Anwar yang Tun Mahathir langsung tidak libatkan dalam urusan kerajaan.
“Ketiga dan paling penting, jika benar Anwar yang menyelamatkan UMNO dari diharamkan pada tahun 2019, mengapa Datuk Seri Zahid tidak menyokong Anwar menjadi PM semasa berlaku Langkah Sheraton, sebaliknya menyokong Tun M dan kemudiannya menyokong TSMY jadi PM? Di mana logiknya cereka Anwar dan Zahid ini?,” soal Annuar.