Peminat sukan bola sepak dikejutkan dengan kematian lagendanya, Diego Maradona pada usia 60 tahun.
Memetik laporan BBC, bekas penyerang dan pengurus Argentina itu mengalami serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires.
Maradona, pada awal bulan ini telah menjalani pembedahan darah beku di otak dan dirawat kerana masalah alkohol.
Maradona menjadi kapten ketika Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 dan menjaringkan gol ‘hand of god’ yang masih diingati sehingga kini ketika menentang England pada suku akhir.
Maradona pernah bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli serta memenangi dua gelaran Serie A dengan pasukan Itali.
Dia menjaringkan 34 gol dalam 91 perlawanan untuk Argentina dan mewakili pasukan itu dalam empat Piala Dunia.
Susulan berita kematian itu, Presiden Argentina Alberto Fernandez mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari berikutan kematian bintang bola sepak itu.