KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen tertinggi dalam sejarahnya bagi tahun kewangan 2024, dengan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion.
Keputusan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan yang mesra pertumbuhan dan pelaburan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, prestasi cemerlang KWSP dipacu oleh reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani serta kepesatan pasaran modal Malaysia, meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
“Alhamdulillah, KWSP telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion. Malah, Simpanan Shariah turut melakar sejarah dengan mencapai kadar dividen yang setara dengan Simpanan Konvensional buat pertama kali,” katanya.
KWSP menetapkan kadar dividen 2024 sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah.
Daripada jumlah keseluruhan agihan, RM63.05 bilion diperuntukkan bagi Simpanan Konvensional, manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah.
Menurut KWSP, pencapaian ini didorong oleh jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Dalam pada itu, KWSP memaklumkan ahli boleh menyemak penyata terkini mulai esok (2 Mac) menerusi aplikasi KWSP i-Akaun.