KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai tempat yang istimewa di hati, demikian menurut Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Beliau menghargai sambutan mesra kepimpinan negara ini ketika mengadakan lawatan kerja rasmi di sini.
Prabowo juga melahirkan rasa terharu apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk mengurniakan Darjah Kerabat Johor.
“Saya juga merasa amat terhormat kerana diterima oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan upacara kebesaran tentera, serta menerima anugerah darjah tertinggi daripada Kesultanan Johor, iaitu Bintang Kehormatan Darjah Kerabat Johor.
“Gelaran ini adalah simbol hubungan erat antara saya dengan Malaysia, khususnya dengan keluarga Diraja Johor.
“Hubungan ini sebenarnya sudah lama terjalin, hampir 45 tahun, sejak saya dan Sultan Johor sama-sama menuntut di Amerika Syarikat ketika kami masih muda.
“Hubungan yang terjalin lama ini membuatkan saya merasa kehadiran di Malaysia seperti pulang ke kampung halaman. Ini kerana saya membesar di Malaysia, bersekolah di sini, dan keluarga saya juga banyak menetap di Malaysia. Namun, selepas menjadi Presiden, pergerakan saya menjadi lebih terbatas kerana protokol dan kawalan keselamatan yang ketat,” katanya.
Dalam pada itu lawatan rasmi Prabowo ke negara ini menandakan satu lagi babak baharu dalam hubungan diplomatik dan persaudaraan antara kedua-dua negara.
Beliau menekankan persamaan yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun, dimana kedua-dua negara berkongsi sejarah, hubungan darah, budaya, dan bahasa yang sama, selain kedudukan sebagai pengasas ASEAN.
Berasaskan persamaan ini, Peabowo berharap menjadi asas untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam menghadapi ketidakpastian geopolitik dunia.
“Kita sedar dunia kini penuh ketegangan. Oleh itu, Malaysia dan Indonesia perlu terus bekerjasama, selari dengan negara-negara ASEAN lain, untuk memastikan suara kita lebih didengari. Dengan populasi lebih 600 juta, ASEAN setanding dengan Kesatuan Eropah dan diiktiraf sebagai rantau pertumbuhan yang pesat,” tambah beliau.
Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai isu penting dibincangkan, termasuk penyelesaian masalah sempadan, tenaga kerja, dan kerjasama ekonomi.
Selain itu kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan industri minyak sawit, di mana Malaysia dan Indonesia merupakan pengeluar terbesar dunia dengan sumbangan sebanyak 80% pengeluaran global.
Prabowo menekankan potensi besar kedua-dua negara untuk memanfaatkan sektor ini bagi memenuhi permintaan global, khususnya dari negara-negara seperti India, Pakistan, dan Mesir.
Selain itu, kedua-dua pemimpin menyatakan pendirian teguh untuk terus menyokong perjuangan Palestin, penyelesaian konflik berdasarkan konsep dua negara dan berharap gencatan senjata yang sedang berlangsung dapat diteruskan.
Dalam pada itu Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menerima sokongan penuh daripada Indonesia, malah Prabowo juga menyatakan kesediaan untuk menerima kunjungan Anwar bagi perundingan tahunan yang dijadualkan pada tahun 2025.
“Semangat kekeluargaan yang saya rasakan di Malaysia amat luar biasa. Hubungan Malaysia dan Indonesia sememangnya istimewa, dan saya yakin kerjasama ini akan terus membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.