JOHOR BAHRU – Dua kumpulan tarian singa dari Johor mendakwa mereka telah diperdaya untuk membuat persembahan di rumah-rumah atas alasan memberi kejutan sempena hari jadi, namun sebenarnya digunakan oleh ah long untuk mengganggu peminjam wang.
Ketua Persatuan Tarian Singa dan Naga Hua Yi, Kulai, Lai En Liang berkata beliau menerima tempahan untuk membuat kejutan hari jadi kepada seorang lelaki di Taman Johor Jaya pada Ahad lepas (6 April).
Menurut Lai, pemanggil turut meminta agar persembahan dirakam sebagai syarat untuk menerima bayaran daripada seseorang di lokasi tersebut.
“Kami sering menerima tempahan kejutan seperti ini, jadi kami bersetuju dengan pakej bernilai RM1,388.
“Kami sanggup bergerak sejauh kira-kira 39 kilometer dari Kulai ke rumah itu dan menjalankan rutin tarian singa serta mengucapkan kata-kata baik seperti yang diarahkan,” katanya dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok lapor Portal The Star.
Namun begitu, seorang wanita keluar dari rumah tersebut dalam keadaan terkejut dan memaklumkan bahawa tiada individu seperti yang disebut tinggal di situ.
“Apabila saya menghubungi pemanggil untuk bayaran, dia enggan membayar dan malah bertanya sama ada kami berminat untuk membuat ‘persembahan’ lain kepada peminjam-peminjam wang dengan bayaran RM1,000,” tambah Lai.
Dalam kejadian berasingan, ketua kumpulan Tarian Singa Hok Quan Johor Bahru, Ng How Ching, turut berkongsi pengalaman yang hampir sama. Tempahan diterima pada saat akhir Jumaat lalu (4 April) untuk kejutan hari jadi seorang wanita di Taman Pelangi.
“Disebabkan ia tempahan saat akhir, saya minta deposit RM300 dan pemanggil membayar secara dalam talian. Dia beritahu baki bayaran akan dibuat oleh seseorang di lokasi.
“Kami hadir dengan pasukan 10 penari singa dan membuat persembahan selama 10 minit dalam hujan serta mengucapkan selamat, namun tiada sesiapa yang keluar,” katanya.
Seorang wanita warga Indonesia kemudiannya keluar dan memberitahu tiada orang seperti yang disebut tinggal di situ, sebelum menghubungi polis. Sebuah kereta peronda tiba dan kumpulan tersebut menjelaskan situasi sebelum beredar.
“Kami kembali ke rumah itu untuk mendapatkan bayaran kerana kebanyakan ahli pasukan kami terdiri daripada pelajar sekolah yang mengharapkan elaun. Ketika itu, saya ternampak karangan bunga pengebumian di pintu utama dengan nama wanita yang disebut sebelum ini. Saya sedar kami telah diperdaya dan dipergunakan untuk tujuan yang tidak baik,” tambah Ng.
Sementara itu, Henry Mok berkata beliau akan membantu kedua-dua kumpulan tersebut untuk membuat laporan polis bagi memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang taktik baru ini.
“Selain dua kumpulan ini, ada satu lagi kumpulan tarian singa turut menjadi mangsa helah yang sama,” katanya.
“Pemuda MCA Johor mengecam sekeras-kerasnya taktik ini. Ia tidak boleh diterima apabila bentuk kesenian budaya yang melambangkan kegembiraan, perayaan dan keharmonian disalahgunakan,” katanya lagi.
Beliau menyeru agar mana-mana kumpulan tarian singa yang mungkin pernah mengalami penipuan serupa tampil membuat laporan demi meningkatkan kesedaran awam.