KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan mempunyai wakil dari semua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang akan menyatukan padukan misi dan visi gabungan itu.
Sehubungan itu Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran mahu setiap pihak di dalam PH, terutamanya DAP menyokong kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Fokus Kabinet ini juga untuk membina kembali negara ini selepas apa yang kita telah lalui lebih dua tahun kebelakangan ini.
“Ini bukanlah kerajaan PH sebaliknya kerajaan perpaduan yang merangkumi semua, kita semua perlu fahami perkara sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Barisan kabinet kerajaan yang diumumkan oleh Anwar Jumaat lalu turut menamakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.
Kula, yang juga pernah menjawat jawatan yang sama semasa PH menjadi kerajaan pusat tahun 2018 menggesa semua pihak terutamanya penyokong beliau supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sivakumar.
“Saya juga mahu semua untuk memberikan sokongan kepada Sivakumar yang baharu sahaja dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia yang juga merupakan antara salah satu Kementerian cukup penting di negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, Sivakumar mempunyai pengalaman politik yang luas dalam mengemudi kementerian itu dan beliau sedia membantu sekiranya bantuan diperlukan.
Sivakumar yang juga merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Kula Segaran.