SEREMBAN, 8 Disember 2025 – Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 menerima sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Dato’ Saiful Yazan Sulaiman yang menyifatkannya sebagai dokumen pembangunan yang seimbang dari segi pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat dan reformasi pelaburan.
Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa belanjawan kali ini membuktikan keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengekalkan momentum ekonomi meskipun berdepan tekanan global. Negeri Sembilan dijangka berkembang pada kadar 3.7 hingga 4.0 peratus pada tahun 2026 dengan kadar pengangguran rendah 2.9 peratus serta inflasi terkawal pada paras 1.7 peratus.
Beliau turut memuji pencapaian pelaburan negeri yang mencecah RM7.2 bilion pada 2024 dan RM6.2 bilion sehingga suku ketiga 2025, namun menyarankan agar pendekatan lebih agresif diperkenalkan termasuk tawaran insentif fleksibel, fast-track kelulusan dan perluasan lokasi pelaburan ke luar kawasan bandar utama.
Menurutnya, kawasan seperti Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan khususnya Johol wajar diberikan perhatian kerana memiliki potensi besar sebagai hub pertumbuhan baharu terutamanya dalam agromakanan, teknologi pertanian dan pelancongan luar bandar.
Selain aspek ekonomi, beliau menekankan bahawa bantuan kebajikan dan sosial tidak boleh menenggelamkan keperluan pembangunan kapasiti rakyat. Beliau menyokong peruntukan RM28.81 juta kepada pendidikan tetapi meminta perluasan program TVET, kemahiran digital serta inkubator desa bagi meningkatkan daya saing anak muda.
Menutup perbahasan, beliau menyeru agar dasar kerajaan terus dilaksana secara inklusif dengan libat urus berkala bersama ADUN kerajaan demi memastikan kesinambungan pembangunan negeri.










