KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk program Asia Youth International Model United Nations ke-14 (AYIMUN) yang diadakan oleh International Global Network (IGN) dengan memperkenalkan konsep United Nations (MUN) kepada para delegasi.
Presiden International Global Network (IGN), Muhammad Fahrizal berkata, AYIMUN ke-14 yang diadakan selama empat hari tiga malam ini mengumpulkan 500 delegasi dari 28 buah negara.
Menurut Fahrizal, program ini menjadikan satu platform terbaik bagi anak muda untuk mengaktualisasikan diri, bertukar fikiran untuk menyelesaikan isu-isu global, dan mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran di era globalisasi.
“AYIMUN adalah simulasi mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa, PBB (Model United Nations) bertujuan untuk melatih anak-anak muda dalam meningkatkan kemahiran insaniah (Soft Skill), pemikiran kritis, dan kemahiran komunikasi.
“Dalam sesi ini, delegasi akan mengemukakan pendapat tentang cara untuk menyelesaikan masalah dunia mengikut delegasi yang mereka wakili, seperti Majlis Kesihatan Dunia (WHO) yang membincangkan isu kesihatan, UNESCO yang membincangkan isu pendidikan. Mereka akan berdebat dan mencari resolusi terbaik untuk masalah yang dibincangkan,” menurutnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada malam penutup Asia Youth International Model United Nations 14th (AYIMUN), bertempat di Hotel Bejaya Times Square, di sini, semalam.
AYIMUN ke-14 membawa tema “Accelerating Global Cooperation: Collaborations Beyond Borders”, menekankan kepentingan kerjasama global yang melangkaui sempadan untuk mendorong pembangunan dan inovasi.
Dalam pada itu, tambah Fahrizal Malaysia selaku tuan rumah AYIMUN ke-14 telah memberi kerjasama luar biasa dengan penglibatan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan MyCEB.
“Kira-kira 50 pelajar dari pelbagai universiti di Malaysia terlibat.
“Mereka (Kementerian Pendidikan Malaysia) menyokong tidak hanya dalam bentuk ucapan tetapi mereka juga memberi sokongan dari segi kewangan bagi mengikuti program ini. Siswa dari universiti di Malaysia menerima tajaan untuk mengikuti kegiatan ini dari kementerian pelancongan, pendidikan..,”tambah beliau.
Rangkaian Global Antarabangsa (IGN) adalah sebuah organisasi yang terlibat dalam program pembangunan belia.
Ditubuhkan dengan matlamat untuk mengumpulkan belia dari seluruh dunia agar dapat bekerjasama dalam bidang perniagaan, budaya, dan pergerakan sosial. Moto IGN adalah “Menghubungkan Impian” di mana IGN sentiasa berusaha untuk merealisasikan impian belia melalui semua programnya.