Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat yang membuat keputusan itu turut mengarahkan Ahli Parlimen Putrajaya itu didenda sebanyak RM2 juta.
Keputusan tersebut dilakukan selepas mahkamah mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memohon penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda terhadap tertuduh.
Terdahulu, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-70, semalam, dilihat hanya tunduk dan berdiam diri sepanjang keputusan itu dibacakan terhadapnya