Ku Li Tak Tolak Kemungkinan UMNO-PH Bekerjasama Dalam PRU15

Veteren UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan untuk parti Melayu itu bekerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata demikian menerusi wawancaranya bersama The Malaysian Insight, apabila ditanya apakah UMNO mempunyai peluang cerah untuk menang jika berpakat dengan PH.

“Berpeluang (menang), manalah saya tahu, tu Tuhan je tahu.

“Tak ada yang mustahil, kalau Tuhan mahu kita menang, tetapi banyak perkara yang mesti masuk ke dalam menu. Kita hadapi pilihan raya, apa manifesto yang kita tawar iaitu khidmat dan rancangan yang kita nak bagi, harapan kepada mereka dalam lima tahun akan datang.

“Itu terpulang kepada strategi macam mana kita kemukakan cadangan-cadangan kita, menepati kehendak muda, tua, perempuan dan lelaki,” katanya.

Pelbagai spekulasi timbul mengenai rakan kerjasama UMNO selepas ia memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan BERSATU dalam menghadapi PRU15.

Tengku Razaleigh, atau mesra disapa Ku Li turut membangkitkan persoalan sokongan yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegasnya, Muhyiddin perlu berundur dari jawatan itu sekiranya sedar akan kekurangan sokongan yang diperolehinya di Dewan Rakyat.

Muhyiddin sebelum ini memperolehi sokongan 110 undi Ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Padangan Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Seri Ahmad Jazlan mengumumkan tidak lagi menyokong beliau.

Bagaimanapun minggu lalu dua Ahli Parlimen PKR menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, menjadi jumlah sokongan diterimanya kembali kepada 112 undi.

“Saya bangkit soal keabsahan kerajaan sekarang bukan saya mahu tentang perdana menteri sekarang, tidak. Soalnya orang-orang tanya saya, sah tak sah kerajaan sekarang.

“Dia kata Agong bagi angkat sumpah depan dia, sudah sah ke? Saya kata memanglah, itu tanggungjawab Agong, apa yang dilakukan Agong tu memang ikut perlembagan.

“Tetapi apakah sekarang ni dia (Muhyiddin) masih ada sokongan di dalam Dewan Rakyat, bukan soal surat sumpah. Kena 112 orang mengundi paling kurang di Dewan Rakyat.

“Kalau tak ada 112, out you go.

“Jadi kenalah orang yang memegang jawatan sekarang berani menghadapi Dewan Rakyat, pilihan rakyat, menentu sama ada dia ada sokongan atau tidak. Kalau dia kekal ada sokongan jalanlah, takkan ada siapa rebut kedudukan itu. 

“Tetapi kalau dia sudah rasa tidak ada lagi sokongan, berhentilah, mengikut perlembagaan.

“Itu perlembagaan kita, kita semua patuh perlembagaan, kita semua angkat sumpah dari Agong sampai ke bawah. Kita kena pertahankan apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan. Kalau tak ada sokongan you get out lah,” katanya.

Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang turut memberikan pandangannya berkenaan pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah tidak boleh diturunkan sebagai calon pilihan raya akan datang.

“Saya tak boleh cakap apa yang perlu diperbaiki, saya nak dengar daripada ahli-ahli Umno apa yang dia rasa patut dibaiki dan juga daripada pandangan rakyat sendiri yang ada hak mengundi.

“Saya dengar cakap-cakap mengatakan elok kita adakan barisan pimpinan untuk ditawar berkhidmat bagi rakyat di kawasan masing-masing, orang yang tak ada terlibat dengan kes mahkamah. Ini salah satu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles