Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menolak dakwaan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri setelah mendesak untuk mempercepatkan perbahasan usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Inisiatif saya ini tidak boleh dianggap untuk diri sendiri atau mempunyai kepentingan peribadi terhadap jawatan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Veteran Umno itu juga menegaskan langkah itu dilakukan bagi menegakkan prinsip sistem parlimen.
Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata beliau mempunyai alasan kukuh untuk membuktikan Muhyiddin dan barisan kabinetnya sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Menjelaskan lebih lanjut beliau terkejut apabila mendengar kabinet mencadangkan pengiytiharan darurat selepas Muhyiddin mengadakan mesyuarat kabinet Jumaat lalu dan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Saya kecewa dan terkejut apabila perdana menteri (dengan sokongan kabinetnya) sedang meminta perkenan YDPA untuk mengisytiharkan darurat, dan dipercayai (untuk) meletakkan dirinya sebagai pentadbir kerajaan dalam darurat yang mempunyai kuasa yang besar,” katanya.
Ku Li menghantar surat bertarikh 25 September kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan usul tidak percaya sangat penting bagi menentukan sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.
Selain dirinya, beberapa ahli parlimen dari kem Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk beberapa ahli parlimen daripada Amanah anggota parlimen mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Dalam balasannya, Azhar berkata urusan bukan kerajaan hanya boleh didahulukan berbanding urusan kerajaan jika ia mendapat sokongan menteri.
Ku Li berkata, rakyat kini sedang menerima kesan daripada impak ekonomi dan kewangan akibat pandemik Covid-19.
Beliau tidak menafikan langkah kawalan kesihatan, rawatan dan bantuan kewangan yang dilakukan kerajaan ketika wabak mula-mula tular dahulu.
Bagaimanapun Ku Li mendakwa sejak kebelakangan ini, pendekatan kerajaan kurang terurus dan bersepadu, menampakkan kelemahan kepemimpinan kerajaan, termasuklah layanan berat sebelah dalam penguatkuasaan dan denda terhadap rakyat dan menteri serta orang yang mempunyai “hubungan baik”.
Katanya lagi, meskipun Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi negara, rakyat dan ahli politik – kecuali beberapa orang yang culas – memberi kerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain Parlimen juga berjalan dengan baik.
“Tiada pemberontakan besar-besaran, tiada rusuhan di jalanan. Saya tak nampak asas jujur di sebalik permintaan seumpama itu (darurat), tetapi saya hanya boleh syak motif tak jujur di sebaliknya,” katanya.
Sebagai ahli ekonomi merangkap bekas menteri kewangan, katanya, seandainya darurat tetap dilaksanakan, dia yakin ia akan memburukkan ekonomi negara yang sedia terjejas.
“Saya boleh cakap dengan yakin, ia akan menjadi umpama memaku keranda ke atas ekonomi kita yang sedia teruk terkesan ini.
“Pelabur asing dan tempatan akan langsung menjauhi kita. Keyakinan perniagaan akan melebur,” katanya lagi.