Ku Li Gesa Usul Tidak Percaya Terhadap PM Dibahaskan Pada Sesi Dewan Rakyat Akan Datang

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini memohon usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi keutamaan untuk perbahasan pada sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadualkan pada 2 November ini.

Permintaan itu dibuat melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 September lepas.

Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Dari segi perlembagaan, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap (Standing Orders) yang boleh menghalang usul ini daripada dibentang di dewan yang mulia ini sebagai suatu keutamaan mendesak.

BACA JUGA : Agong Panggil Ku Li Menghadap Untuk Beri Pandangan

“Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar Usul Tidak Percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang ini,” kata Tengku Razaleigh.

Beliau merupakan Ahli Parlimen yang berpengalaman kerana paling lama menjadi wakil rakyat sejak tahun 1974.

Surat Tengku Razaleigh itu merujuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa pada persidangan Julai.

Berdasarkan kepada surat itu, Tengku Razaleigh berkata pencadang usul tersebut mendakwa Perdana Menteri sebanyak dua kali enggan membenarkan usul itu dibahaskan dengan menyenaraikannya di penghujung Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, menyebabkan usul itu tidak sempat dibahaskan.

Pendedahan itu turut menyertakan surat jawapan Azhar bertarikh 29 Sept, yang antara lain menyatakan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan Usul Tidak Percaya dibahaskan adalah tidak benar dan menjelaskan susunan Aturan Urusan Mesyuarat lepas dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof

Surat jawapan Speaker Dewan Rakyat kepada Tengku Razaleigh.

“Seperti YBM Tan Sri sedia maklum Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan-urusan lain.

“Oleh itu yang demikian, kesemua urusan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan-Urusan Kerajaan telah didahulukan semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mulai 13 Julai hingga 27 Ogos 2020,” kata Azhar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan Usul-usul Persendirian termasuk Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri dari Ahli Parlimen Langkawi dan Usul Percaya Terhadap Perdana Menteri daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ahli Parlimen Sabak Bernam dan Ahli Parlimen Arau disenaraikan berdasarkan masa penerimaan usul-usul itu.

Perkara berkaitan surat Tengku Razaleigh ini timbul selepas sehari beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sementara itu, sumber rapat Tengku Razaleigh ketika ditanya mengapa surat berkenaan baru didedahkan kepada umum, berkata: “Jawapan bertulis daripada Speaker tidak memuaskan dan undi tidak percaya masih relevan.”

Beliau turut berkata tujuannya adalah untuk memaklumkan rakyat berhubung keadaannya kerana Perlembagaan Persekutuan adalah unggul.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,792FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini