Ku Li Dakwa Pengharaman UMNO Tahun 1988 Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa pengharaman parti itu pada tahun 1988 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia ketika itu sebagai tidak sah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut mendakwa pembatalan UMNO pada 30 tahun lalu itu dilakukan hanya kerana politik semasa dan bagi menyokong kepimpinan ketika itu.

Malah mereka yang bertanggungjawab terhadap pembatalan parti itu kenudiannya menubuhkan sebuah parti baharu atas nama sama.

“Ini telah menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menyertai UMNO baru sesudah UMNO asal diharamkan.

“Oleh kerana kita pada ketika itu adalah ahli-ahli yang aktif yang memegang jawatan dan menjadi ahli-ahli Parlimen, dan ramai antara kita yang dalam kerajaan, saya nampak pembatalan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan adalah tidak mengikut Akta Pertubuhan 65, yang diberi kuasa di bawah akta tersebut.

“Juga kita berfikir, penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan UMNO juga di luar bidang jurisdiction dan sepatutnya peguam yang mewakili UMNO melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.

“Tetapi sebaliknya peguam itu pun kalah, UMNO diharamkan walhal ia mewakili UMNO itu sendiri,” katanya pada sidang media di Bilik Media di Parlimen, pada Selasa.

Untuk rekod, UMNO pernah diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari, 1988.

Situasi itu terjadi apabila sekumpulan ahli-ahli UMNO yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April 1987.

Malah Perdana Menteri pda ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua minggu selepas keputusan pengharaman tersebut mengumumkan pendaftaran UMNO Baru.

Tengku Razaleigh, atau dikenali sebagai Ku Li kemudian memutuskan untuk membentuk parti baharu yang menumpukan kepada “Semangat 1946”.

Ditanya mengapa mengambil masa sehingga 30 tahun untuk mendedahkan perkara berkenaan, Ku Li berkata pakar-pakar perundangan dan peguam telah melakukan kajian terperinci berhubung pengharaman UMNO itu.

Justeru tegasnya, mengikut prinsip nullity, UMNO tidak seharusnya diharamkan.

“Sekarang timbul masalah, jika UMNO asal tidak haram dan tak sepatutnya penghakiman dilakukan sebagaimana dilakukan tempoh hari, maka apa jadi kepada UMNO sekarang?

“Jadi saya tak mahu menjawab bagi pihak UMNO sekarang, itu terserah kepada mereka yang ada tetapi saya hanya mementingkan kedudukan UMNO yang disalah hukum oleh mahkamah.

“Ia tidak pernah melanggar mana-mana satu undang-undang negara, tidak pun melakukan sesuatu yang salah dari segi pentadbiran. Maka, tidak ada sebab mengapa pendaftaran badan ini dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan,” katanya lagi.

Ku Li mendakwa dalam hal ini, beliau hanya bersendirian menggerakkan perkara tersebut, namun berharap Dewan Rakyat boleh membahaskan mengenainya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,873FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini