KSU: Ubah Gaya Kerja Untuk Majukan Ekonomi Negara

Budaya kerja perlu berubah apatah lagi di kala Malaysia masih dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sehubungan itu beliau menasihatkan seluruh kakitangan di kementerian dan jabatan kerajaan untuk bekerja lebih pantas dan efisien serta meninggalkan gaya kerja lama sebelum ini.

Malah Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) Jabatan bertujuan untuk merancang serta memastikan semua projek serta program dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

“Saya ingin sebut bahawa dalam keadaan ini tindakan segera dan pantas daripada kita semua amat diperlukan.

“Seandainya kita masih lagi bergelut dan terikat dengan alasan serta masih menggunakan tatacara kerja yang lama, kita khuatir pemulihan ekonomi negara akan mengambil masa lebih panjang.

“Kita sudah tangguh projek dan program ini dalam tempoh yang lama kerana Covid-19.

“Oleh itu, saya dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman) tetapkan KPI untuk KSU dan KP bagi memastikan semua yang dirancang dapat digerakkan sebaik mungkin,” katanya yang ditemui di Program Kelestarian Malaysiaku Indah, di Padang Semarak Taman Wetland Putrajaya

Tambah Mohd Zuki, setiap KSU dan KP akan dihadapkan ke jawatankuasa di peringkatnya jika mereka gagal menggerakkan projek mengikut ketetapan.

“Perlu ada alasan munasabah untuk di pertimbangkan. Itu akan di pertimbangkan di sebuah jawatankuasa peringkat saya dan KPPA serta beberapa ahli yang dilantik nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohd Zuki memaklumkan bahawa kerajaan sedang dalam perancangan untuk membantu rakyat yang kehilangan punca pendapatan dan kerja akibat wabak Covid-19.

 

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,803FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini