Krisis UMNO: Yang Berpihak Kepada Presiden Akan Dapat Untung – Penganalisis

Penganalisis politik, Azmi Hassan menolak kemungkinan akan terdapat tindakan keluar beramai-ramai daripada Umno disebabkan keputusan parti itu memecat Khairy Jamaluddin, Noh Omar dan menggantung beberapa yang lain.

Beliau memberikan contoh tindakan serupa diambil terhadap ahli parlimen Arau Shahidan Kassim sebelum ini.

Malah, katanya mereka yang akan menerima keuntungan daripada keputusan itu adalah mereka yang berpihak kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka ini katanya bakal menyandang jawatan-jawatan penting dalam pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.

Tambahnya, keputusan “pembersihan parti” atau yang digelar “the purge” itu akan memudahkan Umno untuk pembahagian kerusi bersama PH dalam pilihan raya negeri beberapa bulan lagi, memandangkan presiden parti mempunyai suara yang mutlak untuk membuat keputusan.

“Menjelang PRN, Pakatan Harapan dan Umno akan bekerjasama kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain dan kerjasama paling penting ialah pembahagian kerusi.

“Umno yang lebih kuat akan membolehkan mereka membuat beberapa tuntutan (kerana) ada kelebihan bagi Umno setelah pemecatan ataupun the purge ni berlaku,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan program Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaie Hamil turut berpandangan bahawa hala tuju Umno lebih jelas selepas keputusan pembersihan parti itu.

“Senario sekarang ini Umno sudah ada kepimpinan agak jelas walaupun mereka (ada yang) tak berapa setuju dengan presiden, tapi nama-nama seperti (Timbalan Presiden) Mohamad Hasan, juga AMT Umno telahpun disokong dengan kuat dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) baru-baru ini,” katanya yang merujuk keputusan PAU untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.

Namun dia berkata, PRN di enam negeri akan datang akan menjadi ujian pertama Umno, sama ada strategi “pembersihan parti” ini akan berhasil atau ia akan “memakan diri” seperti ketika PRU15.

“Dengan adanya PRN, ini satu platform pertama, ujian sejauh mana keberhasilan gandingan presiden dan timbalan presiden (Umno) dan keyakinan perwakilan itu terhadap kedua-dua kepimpinan ini untuk terus terajui Umno.

“Dalam PRN ini sudah tentulah ada strategi-strategi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh Umno untuk bersama-sama dengan kerajaan perpaduan dalam memenangi pilihan raya di kawasan-kawasan yang mempunyai status quo masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, dia menjangkakan Umno tidak akan sekuat seperti sebelum PRU14 kerana perubahan keadaan politik Malaysia, di mana rakyat kini bersikap lebih terbuka dan tidak lagi taasub terhadap mana-mana parti.

Malah menurutnya, senario itu juga berlaku kepada mana-mana parti lain.

BBerkaitan

Latest articles