Krisis Tenaga Global Memuncak: Malaysia Teliti Nuklear Sebagai Jalan Keluar Baharu

KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan geopolitik dunia yang semakin meruncing, khususnya konflik di Asia Barat, kini membuka semula perbincangan serius mengenai potensi tenaga nuklear sebagai alternatif strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, gangguan terhadap rantaian bekalan bahan api global termasuk laluan kritikal seperti Selat Hormuz telah memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga dunia, sekali gus menjejaskan kestabilan harga dan bekalan.

Menurut beliau, perkembangan ini menjadikan penilaian terhadap kebolehlaksanaan tenaga nuklear semakin penting dalam konteks semasa.

“Tenaga nuklear berpotensi menyediakan penjanaan beban asas yang stabil, rendah karbon dan mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah menilai semula sumber tenaga alternatif itu turut selari dengan hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara Asia Tenggara turut mula mengorak langkah ke arah penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.

Antaranya, Filipina menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga nuklear sehingga 4,800 megawatt menjelang 2050. Vietnam pula dilaporkan kembali memasukkan nuklear dalam pelan tenaga nasionalnya.

Sementara itu, Indonesia sedang meneroka teknologi reaktor modular kecil termasuk reaktor terapung, yang dilihat sesuai untuk negara kepulauan dengan sasaran pelaksanaan seawal 2030.

Di peringkat domestik, MyPOWER Corporation telah dilantik sebagai organisasi pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) bagi menyelaras segala persiapan ke arah pembangunan sektor itu.

Fadillah menjelaskan, agensi berkenaan kini giat menjalankan penilaian menyeluruh yang merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan, aspek kawal selia, serta potensi penglibatan industri tempatan.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan, sebaliknya akan memastikan setiap langkah dibuat secara teliti berdasarkan analisis teknikal yang komprehensif.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan sebarang keputusan berkaitan tenaga nuklear selaras dengan kepentingan pembangunan negara serta mematuhi obligasi antarabangsa Malaysia,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles