Krisis Keselamatan Pelajar Boleh Ditangani Jika Kerajaan Peruntuk Dana Pasang CCTV

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan memperuntukkan dana khusus bagi memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah susulan peningkatan kes buli, rogol dan pembunuhan melibatkan pelajar.

Menurutnya, sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah kini menimbulkan kerisauan besar kepada ibu bapa, sekali gus mewujudkan “defisit kepercayaan” terhadap institusi pendidikan awam.

“Sekolah ini rumah kedua. Guru umpama ibu bapa. Tetapi hari ini tidak pelik lagi apabila kita dengar kes bunuh, rogol, buli di sekolah,” katanya ketika berbahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan pemasangan CCTV bukanlah satu perbelanjaan besar kerana setiap kamera hanya berharga antara RM50 hingga RM200, malah menyelamatkan satu nyawa sekalipun sudah memadai untuk menjadikan pelaburan itu berbaloi.

Dalam masa sama, Syed Saddiq menggesa kerajaan “memufliskan sistem sokongan pembuli” dengan memastikan warden, pengetua dan pegawai penguat kuasa turut dipertanggungjawabkan jika berlaku insiden jenayah di sekolah.

“Kalau sudah ada murid kena rogol, kena bunuh, kena buli, nama sekolah itu tak penting. Yang penting adalah keselamatan dan nyawa anak-anak kita,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles