PUTRAJAYA: Malaysia kekal berada dalam keadaan selamat daripada gangguan bekalan tenaga susulan krisis yang melanda Asia Barat, dengan bekalan elektrik dan gas berpaip negara disahkan stabil ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, majoriti penjanaan elektrik negara masih bergantung kepada sumber gas asli domestik, sekali gus mengurangkan kesan langsung daripada pergolakan global.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pengguna tidak dapat lari sepenuhnya daripada kemungkinan kenaikan kos bahan api, walaupun peningkatannya dijangka sederhana berbanding negara lain.
Menurutnya, kira-kira kurang daripada 20 peratus penggunaan gas asli negara masih bergantung kepada import, terutama dari Australia, sekali gus terdedah kepada turun naik harga pasaran global.
“Apabila harga bahan api seperti minyak mentah Brent meningkat di pasaran dunia, kesannya turut dirasai dalam kos penjanaan elektrik negara,” jelasnya selepas pembentangan Kajian Semula Kawal Selia Tahunan ST 2026, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia masih mengimport sepenuhnya bekalan arang batu, selain sebahagian gas asli, yang menjadikan kos tenaga dipengaruhi beberapa faktor luaran.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos termasuk harga bahan api global, kos penghantaran melalui perkapalan serta insurans.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan beban kos, termasuk mengamalkan penjimatan tenaga, menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga serta memantau penggunaan elektrik di rumah.
“Walaupun kenaikan mungkin tidak terlalu ketara, pengguna tetap perlu bersedia dan bijak mengurus penggunaan tenaga bagi mengurangkan impak terhadap kos sara hidup,” katanya.










