KPT saran UM Tangani Isu Logo Melalui Dialog, Bukan Tindakan Undang-Undang

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berpandangan isu berkaitan Letter of Demand (LOD) yang dihantar oleh Universiti Malaya (UM) kepada sebuah pertubuhan pelajar berhubung penggunaan logo universiti seharusnya ditangani melalui pendekatan yang lebih konstruktif dan berhemah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaya bagi memahami secara lebih terperinci perkembangan sebenar berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, isu melibatkan penggunaan identiti atau logo universiti yang berpotensi menimbulkan kekeliruan atau pelanggaran prosedur wajar diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan dan konsultasi antara pihak universiti dan pelajar.

“Pendekatan dialog dan rundingan adalah lebih selari dengan semangat ekosistem universiti yang berteraskan keterbukaan, pendidikan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berpandangan bahawa perkara seumpama itu tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.

Pada masa sama, Zambry menegaskan bahawa persatuan atau gerakan pelajar yang aktif, sama ada berdaftar secara rasmi dengan universiti ataupun tidak, perlu sentiasa menghormati peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti, khususnya dalam hal yang melibatkan penggunaan nama, logo serta identiti institusi.

Dalam hal ini, beliau turut mencadangkan agar pihak universiti mengambil pendekatan yang lebih mendidik terhadap persatuan yang tidak berdaftar dengan memanggil serta memberi panduan yang sewajarnya kepada mereka.

Beliau berharap Universiti Malaya dapat mengambil langkah yang lebih proaktif dan konsultatif dalam menangani isu berkenaan, manakala pihak pelajar pula digalakkan mendekati perkara itu dengan sikap terbuka serta semangat mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

“Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa menggalakkan budaya dialog, persefahaman dan saling menghormati dalam ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles