KPT Komited Bantu Pelan Pemulihan Negara Sebagai Strategi Keluar Dari Pandemik

 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus komited untuk membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), KPT giat untuk terus menambah jumlah Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) dalam usaha untuk mewujudkan imuniti kelompok dengan segera.

Beliau berkata demikian Ketika menerima kunjungan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, ke program rintis Pusat Pemberian Vaksin Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Batu Pahat, hari ini.

“Pusat Pemberian Vaksin Bergerak ini dilaksanakan sejak dua minggu lalu bagi memberi akses vaksinasi lebih luas kepada masyarakat luar bandar

“Selain PPV yang digerakkan oleh HCTM ini, semalam juga Pusat Pemberian Vaksin Institut Pendidikan Tinggi (PPV IPT) Unimas telah berjaya mencatat rekod 5,584 penerima vaksin sehari. Sejak beroperasi 10 hari lalu, sejumlah 37,758 penerima telah menerima vaksin di PPV IPT Unimas,” katanya.

Pada Isnin ini, katanya, sebuah lagi PPV IPT akan dibuka di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dengan kapasiti 3,000 penerima vaksin sehari, PPV IPT ini mampu memberi manfaat kepada penduduk terutamanya di Negeri Sembilan.

Ini menjadikan jumlah PPV IPT yang telah beroperasi sebanyak 26 buah diseluruh Malaysia. Sebanyak 19 lagi PPV IPT dalam perancangan untuk dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPV IPT sebanyak 45 buah. Ketika ini, PPV IPT yang telah beroperasi mempunyai kapasiti 25,400 dos vaksin sehari. Sehingga 21 Jun lalu, seramai 200,016 orang telah menerima vaksin di PPV IPT.

KPT ingin mengucapkan terima kasih kepada Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19 di negara ini. KPT yakin dan komited dengan inisiatif yang digerakkan secara bersama ini, Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

BBerkaitan

Latest articles