KUALA LUMPUR: Polis hanya akan memeriksa telefon bimbit individu yang disyaki terlibat dalam sesuatu siasatan kes.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan bahawa pihak polis tidak akan sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam secara rambang di tempat awam.
“Pemeriksaan hanya dilakukan sekiranya terdapat maklumat, risikan, atau syak wasangka munasabah yang menunjukkan seseorang individu mungkin melakukan kesalahan atau jenayah, yang menyebabkan individu tersebut dicurigai.
“Selain itu, pemeriksaan hanya boleh dilakukan oleh pegawai polis berpangkat inspektor ke atas,” katanya ketika dihubungi.
Razarudin menjelaskan bahawa pemeriksaan hanya akan dilakukan jika diperlukan dalam sesuatu siasatan kes dan mengikut undang-undang sedia ada serta peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah, tindakan ini bertujuan membolehkan anggota dan pegawai polis menjalankan tugas dengan baik sambil menghormati hak individu bagi mengekalkan kepercayaan awam.
Pada 13 Januari lalu, Razarudin menyatakan bahawa hak polis untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya terdapat syak wasangka atau maklumat berkaitan kesalahan, adalah termaktub di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 23(1) dan Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 233 dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), serta Seksyen 20(g) Akta Polis.
Beliau turut memaklumkan bahawa Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan sekiranya pemeriksaan menemukan bahan lucah, manakala Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh terpakai jika aplikasi judi dalam talian dijumpai. Kedua-dua kesalahan ini membolehkan tangkapan tanpa waran dilakukan.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan bahawa perjumpaan antara polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pemeriksaan telefon bimbit orang awam oleh pihak polis.