KPN: Sirul Buat Kenyataan Tak Berasas, Tak Pernah Dikemukakan Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia melihat kenyataan Sirul Azhar Umar kepada sebuah media antarabangsa berhubung sabitannya dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2009, sebagai tidak berasas dan bersifat kenyataan liar yang boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ini kerana Sirul Azhar telah diberikan peluang untuk membela diri selari dengan perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.

“Namun dakwaan beliau (Sirul Azhar) ini tidak pernah dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili beliau, dari Mahkamah Tinggi sehinggalah di Mahkamah Persekutuan.

“Sekiranya beliau yakin dan merasakan perlu keadilan bahawa terdapat keterangan-keterangan baharu, beliau atau melalui peguamnya, boleh membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang perlu berkaitan dakwaan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai wawancara Sirul Azhar oleh sebuah media antarabangsa yang disiarkan di televisyen baru-baru ini.

Razarudin berkata sehingga kini Sirul Azhar masih belum lagi membuat sebarang permohonan untuk membuat semakan ke atas hukuman mati yang dihadapinya selari dengan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati membuat semakan bermula dari tarikh 12 September 2023. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles