KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, telah memfailkan saman terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atas dakwaan fitnah.
Razarudin menyaman bekas exco Pemuda Umno itu berhubung kenyataan dalam video yang dimuat naik ke YouTube dan TikTok, yang turut dikongsi di platform media sosial lain.
Peguam Razarudin, Raam Kumar, berkata notis tuntutan saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin melalui firma guaman K.B. Tan Kumar & Partners.
Beliau memaklumkan bahawa notis itu telah diserahkan kepada Wan Azri, yang dinamakan sebagai defendan, pada petang semalam.
“Plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan, serta ganti rugi khas,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Razarudin turut memohon injunksi bagi menghalang defendan, sama ada secara peribadi atau melalui pekerjanya atau mana-mana pihak lain, daripada mengeluarkan kenyataan yang dianggap fitnah atau menerbitkan semula kenyataan tersebut.
Raam menambah bahawa Razarudin menuntut Wan Azri menarik balik kenyataan yang didakwa fitnah itu atau memadam serta memusnahkan semua video, penerbitan, dan bahan yang mengandungi kandungan tersebut.
“Plaintif juga menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun media sosial, serta media massa dan media dalam talian, dengan kandungan permohonan maaf itu perlu dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.”
Razarudin mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kertas siasatan telah dibuka berhubung video yang didakwa berunsur fitnah terhadap KPN dan kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan.