KPM Umum Langkah Baharu Tangani Disiplin Pelajar, Fokus Keselamatan Sekolah Semakin Diperketat

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh keselamatan dan menangani masalah disiplin murid di sekolah, termasuk memberi lebih kuasa kepada pihak pentadbiran sekolah dan memperluas kerjasama antara agensi.

Dalam satu kenyataan rasmi, KPM memaklumkan sedang menggubal semula peraturan disiplin sedia ada bagi membolehkan Pengetua dan Guru Besar menurunkan kuasa kepada guru untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap murid, bergantung kepada keperluan semasa.

Langkah itu turut melibatkan penambahbaikan terhadap peraturan berkaitan tindakan disiplin seperti merotan, penggantungan sekolah dan buang sekolah yang masih berkuat kuasa ketika ini.

Antara pendekatan baharu yang akan dilaksanakan termasuk melantik 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalangan personel MySTEP.

Penempatan ini dijangka dapat mengurangkan beban tugas warden sedia ada serta meningkatkan pemantauan keselamatan di asrama.

Selain itu, dana tambahan sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.

Peruntukan ini adalah tambahan kepada RM3 juta yang telah diluluskan sebelum ini.

KPM turut mengumumkan penempatan 10,096 guru baharu, termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling, bermula bulan depan.

Penambahan ini bertujuan memenuhi keperluan pengajaran serta meningkatkan aspek sokongan psikososial murid.

Pada masa yang sama, peranan Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah akan diperhebat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pegawai Penghubung Sekolah dari PDRM akan memainkan peranan lebih aktif dalam pemantauan keselamatan di sekolah-sekolah di bawah KPM.

Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan diperkukuh untuk memberikan bantuan psikososial dalam situasi krisis di sekolah.

Dalam pada itu, guru-guru akan terus diberikan latihan dan pendedahan berkala sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan atau berisiko tinggi di sekolah.

KPM juga sedang meneliti semula keberkesanan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) untuk digunakan secara lebih proaktif dalam pengurusan disiplin.

Menariknya, KPM bakal memperkenalkan inisiatif “kotak suara murid”, selaras dengan saranan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), bagi memberi ruang kepada murid menyuarakan pandangan serta isu yang dihadapi.

“Suara guru dan murid perlu diberi perhatian. Sesi dialog dan pertemuan perlu diadakan bagi memahami keperluan sebenar di peringkat sekolah,” menurut kenyataan itu.

Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) juga bakal dimuktamadkan tidak lama lagi sebagai langkah melindungi murid daripada sebarang bentuk penderaan atau eksploitasi.

Di samping itu, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkukuh program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Program ini akan merangkumi intervensi dan sokongan psikososial secara berterusan.

KPM menegaskan bahawa usaha membina persekitaran sekolah yang selamat memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

“Keselamatan dan disiplin murid adalah tanggungjawab bersama. KPM sentiasa komited memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif untuk perkembangan murid,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles