PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambah masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah kepada 608 jam bagi tempoh enam tahun bermula Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), susulan kebimbangan terhadap jumlah jam sedia ada yang antara terendah di rantau ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan ketika ini jumlah PdP Matematik direkodkan sekitar 576 jam sepanjang enam tahun persekolahan rendah.
Berdasarkan laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, angka itu adalah paling rendah berbanding beberapa negara jiran seperti Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan KP2027 akan menyaksikan peningkatan kepada 3.5 jam seminggu bagi Tahap I, manakala 3 jam seminggu bagi Tahap II dan Tahap III.
Secara keseluruhan, ia melibatkan tambahan 32 jam sepanjang enam tahun persekolahan.
KPM menjelaskan penambahan masa tersebut bertujuan memberi ruang lebih luas kepada murid memahami konsep Matematik secara mendalam serta mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan sebenar.
Pada masa sama, guru akan mempunyai lebih peluang untuk melaksanakan intervensi dan memberi tumpuan khusus kepada murid yang memerlukan sokongan tambahan.
Penjelasan itu diberikan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meminta kementerian menyatakan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan jumlah jam pembelajaran Matematik sekurang-kurangnya kepada 1,000 jam.
Isu kekurangan waktu pengajaran sebelum ini turut dibangkitkan ahli akademik yang menyifatkannya sebagai “ketidakcukupan nutrien” dalam usaha memperkukuh bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Mengulas lanjut, KPM menjelaskan peruntukan masa bagi subjek Matematik sebenarnya berubah mengikut dasar pendidikan semasa.
Ketika pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) bermula 1993, Matematik diajar selama 3.5 jam seminggu.
Namun, apabila Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011, masa itu dikurangkan kepada 3 jam seminggu bagi memberi keutamaan kepada pengukuhan bahasa menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Peruntukan tersebut kemudiannya dikekalkan dalam KSSR (Semakan 2017).










